PUTRAJAYA, 12 Disember - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof antara yang menyandang portfolio kementerian baharu dalam rombakan kabinet Kerajaan Perpaduan.
Beliau sebelum ini yang memegang jawatan Menteri Perladangan Dan Komoditi, kini menerajui Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Datuk Seri Fadillah juga kini dipertanggungjawabkan dalam urusan hal ehwal Sabah dan Sarawak.
"Justeru kerana kita menjadikan urusan semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak sebagai urusan Jemaah Menteri secara lanngsung dan kebertanggungjawaban saya dan Fadillah, maka tidak diadakan Menteri urusan Sabah dan Sarawak. Ini akan diurusan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri (Fadillah)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Putrajaya.
Portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas dahulunya disandang Datuk Armizan Mohd Ali yang kini menggalas tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Sementara itu, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad kini membuat kemunculan semula sebagai Menteri Kesihatan yang menggantikan Dr. Zaliha Mustafa yang kini menerajui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).