GEORGE TOWN, 16 November - Hampir 200 keluarga yang menetap di Tanah Tambun Pengkalan Weld, di sini akan berpindah ke Cecil Residence, Lebuh Cecil secara tetap dalam masa beberapa bulan lagi bagi memberi laluan kepada projek Transit Aliran Ringan(LRT) Laluan Mutiara.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia merupakan perancangan awal kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi menggantikan penempatan baharu.
"Kerajaan negeri melalui PDC telah ada rancangan dan sudah hampir siap satu blok tetap kekal di Gat Lebuh Cecil yang diberikan nama Cecil Residence untuk menempatkan semula penduduk-penduduk Tanah Tambun Pengkalan Weld ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Tayangan Khas dan Majlis Pelancaran Dokumentasi Tanah Tambun Pengkalan Weld di sini.
Kebanyakan penduduk di Tanah Tambun Pengkalan Weld telah mendiami kawasan itu melebihi 50 tahun dan ia merupakan tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang.
LRT Laluan Mutiara dalam proses pemindahan utiliti, pelebaran jalan, kerja cerucuk tanah dan penyediaan tapak bina bagi projek tersebut
Jajaran sepanjang 29.5 kilometer (km) LRT Laluan Mutiara merangkumi 21 stesen itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2031.