fb fb fb fb fb

Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pengkalan Pasir siap 2026

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim , Nik Nazmi Nik Ahmad/ BERNAMA

PASIR MAS, 12 Disember- Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bakal melaksanakan Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan pada awal tahun depan dengan anggaran kos sebanyak RM20.32 juta.
 
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata projek di Kampung Pengkalan Pasir, di sini itu dijangka akan siap pada tahun 2026.
 
Jelasnya, pelaksanaan projek berkenaan adalah bagi mengatasi masalah hakisan tebing sungai Kelantan sepanjang 350 meter di kampung tersebut.
 
"Komponen utama projek ini ialah pembinaan bongkah batu, pembinaan sistem saliran, membuang struktur penahan tebing sedia ada dan membaik pulih kerosakan jalan akibat pembinaan.

"Pelaksanaan projek ini juga dapat melindungi keselamatan penduduk seramai 100 orang dengan melibatkan 20 keluarga daripada terdedah kepada ancaman hakisan tebing sungai serta kerugian harta benda," katanya.

Teks ucapan beliau dibaca Setiausaha Bahagian Kanan Pengurusan NRECC Datuk Mohd Rodzwan Mohd Baba Sakri pada Majlis Penyerahan Projek Bencana Runtuhan Tebing Sungai Kelantan di Dataran Air Muleh, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Menurutnya, pihaknya komited dalam memstikan setiap pelaksanaan projek dapat dilaksanakan mengikut jadual bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta peningkatan ekonomi negeri Kelantan.
 
Dalam pada itu, sebanyak RM10 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan kepada negeri Kelantan bagi melaksanakan kerja-kerja kecemasan dalam menghadapi fasa Monsun Timur Laut tahun ini.
 
Bagi mengurangkan risiko banjir kepada rakyat di negeri itu, sebanyak 174 kerja-kerja kecemasan luar jangka yang melibatkan skop memulihkan system saliran atau perparitan, memulihkan jalan atau jambatan dan memulihkan struktur kawalan banjir untuk pelbagai daerah telah dilaksanakan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI