OSAKA, 30 Mei - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dijadual melakukan pembukaan rasmi Pavilion Malaysia di Expo 2025 Osaka, Jepun, esok.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kebangsaan Malaysia bagi Expo 2025, berada di Osaka bagi lawatan kerja selama tiga hari.
Antara agenda beliau adalah mengunjungi pavilion pebagai negara bagi mengukuhkan hubungan dua hala selain menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU).
“Penyertaan Malaysia dalam Expo 2025 Osaka itu didorong oleh matlamat jelas dan berwawasan iaitu menjana potensi perdagangan dan peluang pelaburan bernilai sekurang-kurangnya RM13 bilion.
"Pencapaian ini dijangka membuka laluan kepada pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan peluang pekerjaan yang bermakna untuk rakyat Malaysia, sekali gus memupuk masa depan lebih makmur untuk negara," kata Fadillah.
Beliau juga dijadual menemui komuniti diaspora Malaysia di Osaka pada 1 Jun dan dijangka berkongsi aspirasi kerajaan dalam aspek keterangkuman, perpaduan dan kepentingan nilai-nilai murni dalam konsep Malaysia MADANI.
Acara Expo 2025 Osaka selama enam bulan itu diadakan di Pulau Yumeshima, Teluk Osaka pada 13 April-13 Okt, 2025.
Setakat 18 Mei, 2025, Pavilion Malaysia berjaya menjana potensi pelaburan sebanyak RM7.86 bilion dan pemeteraian 16 memorandum persefahaman (MoU) yang mewakili 60.50 peratus daripada sasaran keseluruhannya.
MoU itu menumpukan bidang tenaga hijau, teknologi, halal dan bioekonomi yang seiring dengan komitmen Malaysia terhadap aspek kemampanan, teknologi dan inovasi.
Malah, setakat ini, Pavilion Malaysia telah menarik kehadiran lebih 800,000 pengunjung sejak dibuka pada 13 April dengan pertunjukan kebudayaan diadakan empat kali sehari, program perniagaan serta demonstrasi “Flying Roti Canai” menjadi tarikan utama.
Penyertaan Malaysia dalam ekspo selama enam bulan itu juga adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh untuk melonjakkan kehadiran negara di peringkat global selain memperkukuh kerjasama ekonomi.
Inisiatif itu diterajui oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan disokong menerusi pendekatan kerajaan secara menyeluruh.
Minggu perniagaan Pavilion Malaysia pula melibatkan penyertaan 21 kementerian dan 10 kerajaan negeri yang merangkumi kira-kira 70 jabatan serta agensi kerajaan.
Visi strategik Pavilion Malaysia menumpukan tujuh sektor utama -- pertanian lestari, tenaga boleh baharu, kehidupan pintar, pembuatan hijau, reformasi industri, pengurusan alam sekitar dan industri halal.
Sebagai bukti kepada peningkatan pengaruh negara dalam bidang terbabit, beberapa MoU telah dimeterai dan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai rakan global diyakini dalam inovasi dan kemajuan.
“Kehadiran Malaysia pada Ekspo 2025 ini tidak hanya dari segi usaha ekonomi, malah mencerminkan komitmen teguh negara dalam memupuk kerjasama global dan memperkukuh hubungan dua hala.
“Menerusi warisan budaya Malaysia yang unik dan pelbagai, kami berhasrat untuk menampilkan jiwa Malaysia kepada dunia, mengeratkan lagi hubungan antara negara melalui persefahaman bersama, perdagangan dan aspirasi sejagat untuk masa depan lebih cerah,” kata Pengarah Pavilion Malaysia Ellyza Mastura Ahmad Hanipiah.
Selain itu, Ekspo Dunia 2025 yang bertemakan “Designing Future Society for Our Lives” menghimpunkan 157 negara, menawarkan platform global untuk mengetengahkan inovasi dan ekspresi budaya bagi mengatasi cabaran paling mendesak manusia sejagat.
Acara itu yang mengumpulkan negara dan organisasi dengan masing-masing menyumbang idea dan penyelesaian inovatif ke arah masa depan lebih lestari dan saksama.
Salah satu tarikan ekspo itu ialah “Grand Ring” iaitu struktur kayu sepanjang dua kilometer yang mengelilingi kawasan pameran utama.
Hasil sentuhan oleh arkitek terkenal Sou Fujimoto itu melambangkan perpaduan dan kepelbagaian, menawarkan pemandangan panoramik kawasan ekspo kepada pengunjung.
- BERNAMA