KUALA LUMPUR, 30 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 baru-baru ini.
Beliau menyifatkan kejayaan tersebut bukan hasil usaha individu semata-mata, malah cerminan kekuatan semangat berpasukan semua pihak.
"Inilah wajah sebenar Malaysia MADANI yakni berpadu tenaga dan bersatu hati demi negara yang kita sanjungi," katanya menerusi catatan di Facebook.
Datuk Seri Anwar juga menyatakan komitmen Kerajaan MADANI untuk terus mara menghadapi cabaran dan bertekad berkhidmat sepenuh jiwa dan raga kepada rakyat.
"Kita tidak memilih untuk berundur, jauh sekali mendabik dada dengan nama dan pangkat semata.
"Teruskan berbakti dengan ikhlas dan rendah hati. Negara ini milik kita bersama," katanya lagi.
Beliau menegaskan masa depan negara bergantung kepada keutuhan nilai, kesungguhan tekad dan kekuatan azam rakyat secara kesuluruhannya.