fb fb fb fb fb

BDB terus pacu pembangunan strategik di utara

Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah

ALOR SETAR, 30 Mei- Bina Darulaman Berhad (BDB) terus memperkukuh pengembangan strategiknya di Wilayah Utara menerusi pelaksanaan beberapa projek berimpak tinggi dalam sektor infrastruktur, pembangunan hartanah dan ekonomi rakyat.

Langkah itu sekali gus memperkukuh kedudukan BDB sebagai peneraju utama dalam menjana pertumbuhan mampan di rantau berkenaan.

Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman, berkata syarikat berkenaan akan terus memperkasa perniagaan teras yang menjadi tunjang utama operasinya dengan penekanan terhadap kecekapan pengurusan sumber.

Usaha itu bagi memastikan pendapatan dan keuntungan syarikat bagi tahun kewangan akan datang terus meningkat.

Dalam divisyen pembangunan hartanah, BDB telah melancarkan Fasa 1 daripada keseluruhan tiga fasa pembangunan Perbandaran Darulaman Saujana di Hosba, Kubang Pasu yang kini telah dibuka untuk jualan. Projek bernilai RM74.02 juta ini merangkumi pembinaan rumah teres setingkat dan rumah kluster, bagi memenuhi permintaan terhadap kediaman mampu milik di Negeri Kedah.

Raja Shahreen berkongsi perkara tersebut semasa Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30 yang berlangsung di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah.

Jelas beliau, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, BDB mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.51 juta dengan pendapatan RM294.7 juta, berbanding keuntungan sebelum cukai RM14.47 juta dan pendapatan RM313.1 juta pada tahun 2023. Walaupun berdepan prestasi kewangan yang lebih perlahan, syarikat tetap optimis terhadap prospek pertumbuhan jangka panjangnya.

Mengulas mengenai perancangan masa hadapan, Raja Shahreen menyatakan keyakinan menerusi beberapa inisiatif strategik dan peluang perniagaan baharu yang telah dirangka bagi memperkukuh operasi dan meningkatkan prestasi keseluruhan BDB.

"Salah satu projek utama ialah Aman Seterra Sanctuary, Langkawi, iaitu sanctuary persaraan antarabangsa berinspirasikan Islam pertama di dunia.

"Projek ini dibangunkan dengan kerjasama RUKUN Senior Living (Indonesia) dan Well Aging Japan Association (WAJA), yang dimeterai semasa Ekspo Dunia Osaka 2025," katanya.

Dalam masa yang sama, BDB juga sedang giat meneroka peluang perniagaan di luar Kedah, khususnya di Perlis dan Pulau Pinang.

BDB turut komited untuk menyokong agenda pembangunan ekonomi negara serta kawasan serantau, termasuk di Kulim Hi-Tech Park yang merupakan hab utama bagi industri semikonduktor di Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE