ALOR SETAR, 30 Mei- Kerja-kerja pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Pelubang di Kubang Pasu, Kedah kini berada pada tahap 62.46 peratus, melepasi jadual asal 62.32 peratus, dan menunjukkan kemajuan 43 hari lebih awal daripada perancangan.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB), Raja Shahreen Raja Othman, berkata perkembangan positif ini meyakinkan pihaknya bahawa LRA tersebut mampu disiapkan menjelang hujung tahun ini.
Menurut beliau, aspek pematuhan kepada jadual yang ditetapkan adalah keutamaan pihaknya dan berharap agar semua pihak berkepentingan dapat memberikan kerjasama penuh untuk memastikan pembinaan berjalan lancar.
Tambah beliau, beberapa cabaran utama seperti isu tanah dan permit masih perlu diselesaikan memandangkan projek ini melibatkan pemilikan tanah, jalan raya, dan hartanah lain. Namun begitu, BDB yakin dengan komitmen dan sumber yang ada, projek ini akan dapat disiapkan mengikut jadual.
Beliau menjelaskan, struktur LRA itu kini hampir siap sepenuhnya dan hanya menunggu kerja-kerja mekanikal dan elektrikal (M&E) sebelum ia dapat disiapkan secara keseluruhan. Setelah beroperasi kelak, LRA Pelubang dijangka dapat meningkatkan akses bekalan air bersih kepada penduduk di kawasan Kubang Pasu dan Alor Setar, sekali gus mengatasi masalah air yang sering berlaku di Kedah.
Raja Shahreen berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan BDB ke-30, semalam.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusuf@Munir Zakaria, memaklumkan bahawa projek LRA Pelubang telah diberikan lanjutan masa (EOT) sehingga 21 Disember ini berikutan beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.