KOTA KINABALU, 30 Mei - Hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan Sabah harus akrab serta berdasarkan sikap saling percaya dalam usaha membela nasib negeri itu dan rakyatnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hubungan kukuh seperti itu terbukti berkesan dalam memajukan negeri dan membantu rakyat seperti yang berlaku di Sarawak.
"Kerana kekuatan dan hubungan kerajaan negeri dan Persekutuan yang sangat baik. Dan disebabkan itu saya mengusulkan supaya rakyat Sabah mengambil kira ini mesti ada jaringan yang lebih kuat dengan Sabah dan kerajaan Persekutuan," katanya dalam Sidang Media selepas Pertemuan Bersama Pimpinan PH Kota Kinabalu.
Mengenai rundingan pembahagian kawasan bagi kerjsama PH-BN-GRS pada Pilihanraya Umum Negeri Sabah, Datuk Seri Anwar berkata, PH pusat akan menyerahkan sepenuhnya kepada PH Sabah.
"Kerana keputusan kita adalah untuk menyerahkan pengendalian pilihan rakyat negeri ini kepada PH Sabah. Jadi mengapa ada hubungan yang begini? Kerana saya yakin kalau kita mahu bela nasib negeri dan rakyat Sabah, hubungan di antara negeri dengan persekutuan harus intim, harus berdasarkan, saling percaya-percaya," katanya.
Tambah Perdana Menteri, dibawah pentadbirannya, kerajaan Persekutuan telah menunjukkan komitmen jitu dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui jawatankuasa yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak.
Hasil kesungguhan itu, sembilan perkara utama yang tertangguh selama berpuluh tahun telah berjaya diselesaikan.
Malah isu lebih mencabar seperti hal ehwal minyak dapat dirungkai.