PUTRAJAYA 29 MEI - Dua inisiatif baharu diperkenal bagi menangani kesesakan jalan raya serta risiko kemalangan melibatkan kenderaan berat yang menuju ke Pelabuhan Klang.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, kedua-dua langkah itu telah diluluskan dalam Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan yang diadakan pada Khamis lalu.
Langkat tersebut juga sebagai sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan untuk meningkatkan kecekapan logistik dan keselamatan jalan raya.
Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah pemberian insentif bagi pergerakan luar waktu puncak kepada pengangkut barangan atau haulier yang memilih untuk memasuki Pelabuhan Klang antara pukul 8 malam hingga 8 pagi.
"Setiap pergerakan dua hala pada waktu luar puncak akan menerima insentif sebanyak RM15, manakala pergerakan satu hala pula akan diberikan RM7.50," katanya dalam satu kenyataan media.
Kos bagi insentif ini akan ditampung menerusi pelaksanaan Caj Akses Terminal (TAC) sebanyak RM10 yang dikenakan terhadap pengangkut barangan yang memasuki pelabuhan pada waktu puncak iaitu dari 8 pagi hingga 8 malam.
Bagaimanapun, menurut beliau, TAC dan insentif tersebut tidak akan dikenakan pada hari Ahad dan cuti umum sebagai langkah galakan tambahan.
Selain itu, satu lagi inisiatif yang diluluskan ialah pemberian tempoh simpanan percuma tambahan kepada pengimport dan pengeksport yang berjaya memindahkan sekurang-kurangnya 50 peratus pergerakan pengangkutan ke luar waktu puncak sebelum atau pada 1 Julai 2025.
“Jika syarat ini tidak dipenuhi, insentif tersebut boleh ditarik balik dan tempoh simpanan percuma akan dikurangkan,” jelas Anthony.
Pada masa ini, tempoh simpanan percuma bagi kontena di pelabuhan adalah sehingga empat hari sebelum caj penyimpanan dikenakan.
Beliau turut memaklumkan bahawa peningkatan sebanyak sembilan peratus dalam pengendalian kontena import dan eksport di Pelabuhan Klang tahun lalu telah menyebabkan lebih 70 peratus pergerakan kenderaan berat tertumpu pada waktu puncak. Keadaan ini memberi tekanan yang besar terhadap infrastruktur jalan raya sedia ada.
Sebagai langkah jangka panjang, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) telah menubuhkan pasukan petugas khas sejak 7 Januari lalu bagi menganalisis corak trafik serta mencadangkan langkah penyuraian pergerakan kenderaan berat ke pelabuhan.
“Usaha ini merupakan sebahagian daripada pendekatan bersepadu kerajaan untuk menjamin keselamatan jalan raya dan memastikan operasi logistik berjalan lancar,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Anthony turut mengumumkan bahawa penguatkuasaan terhadap kenderaan yang melebihi berat gabungan kenderaan (BGK) akan diperluas ke semua pelabuhan persekutuan di Semenanjung Malaysia mulai 1 Julai ini.
Langkah itu menyusuli kejayaan ujian rintis yang dilaksanakan di Pelabuhan Klang dari 10 hingga 31 Disember lalu, yang menyaksikan sekatan terhadap kenderaan berat membawa muatan berlebihan.
Beliau menjelaskan bahawa infrastruktur pelabuhan akan digunakan sebagai kaedah tambahan dalam pelaksanaan penguatkuasaan ini, manakala dasar berkaitan lebihan muatan akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa pelabuhan kepada pemain industri.
“Kementerian turut menggesa pengendali lori supaya memahami kaedah pelaksanaan di setiap pelabuhan dan mematuhi had muatan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan yang boleh menjejaskan operasi mereka,” tegas Anthony.