SELAYANG, 30 Mei - Seramai 1,435 individu dipercayai pendatang tanpa izin diperiksa dan ditahan dalam satu operasi besar-besaran awal pagi tadi di kawasan rumah kedai bersebelahan Pasar Borong Selayang.
Operasi khas dinamakan Op Kachi itu digerakkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Aman bersama tujuh agensi penguat kuasa lain.
Kawasan tersebut disasarkan hasil risikan selama dua minggu susulan aduan orang awam.
Menurut Timbalan Pengarah Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi, lokasi berkenaan belum pernah diserbu sebelum ini.
“Daripada jumlah yang diperiksa, 1,222 adalah warga Myanmar, diikuti Bangladesh (142), India (9), Indonesia (4) dan Nepal (1). Premis yang diperiksa pula melibatkan 225 lokasi, termasuk kediaman dan stor yang dijadikan tempat tinggal,” katanya.
Dalam operasi itu, 225 premis kediaman dan perniagaan diperiksa.
Sebanyak lima kesalahan utama di bawah Akta Imigresen dikesan melibatkan warga asing terbabit.
Antaranya termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal melebihi tempoh, menggaji dan melindungi pendatang tanpa izin, serta menyalahgunakan permit.
Selain itu, pasukan penguatkuasa turut mengesan kesalahan lain seperti penyambungan bekalan air secara haram, pengubahsuaian meter elektrik, serta pembinaan struktur tanpa kelulusan.
Kes disiasat mengikut peruntukan Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik, Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655), serta Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
Seramai 560 pegawai dan anggota PGA terbabit dalam operasi itu bersama agensi lain termasuk Jabatan Imigresen Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan St. John Ambulans Malaysia.
Operasi Kachi yang bermula sekitar tengah malam itu berakhir kira-kira pukul 6.00 pagi.