KUALA LUMPUR, 30 Mei - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan Selamat Hari Gawai dan Pesta Kaamatan kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikan perayaan tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah sambutan itu mencerminkan kekayaan warisan tradisi serta keharmonian masyarakat majmuk negara di mata dunia.
"Sambutan Hari Gawai dan Pesta Kaamatan bukan sahaja sebagai tanda kesyukuran di penghujung musim menuai.
"Ia juga sebagai peringatan kepada seluruh rakyat agar terus mensyukuri rezeki dan nikmat yang dikurniakan, seiring dengan kepercayaan dan amalan masing-masing," titah Baginda.
Baginda turut menzahirkan penghargaan terhadap kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia yang terserlah menerusi sambutan perayaan itu.