fb fb fb fb fb

Tolak tuntutan kumpulan Sulu, keputusan berdasarkan tiga alasan penghakiman

KUALA LUMPUR, 28 Jun- Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda yang menolak tuntutan kumpulan Sulu dibuat secara jelas berdasarkan tiga alasan penghakiman.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pengeluaran Final Award adalah tidak sah berikutan pelantikan Dr. Gonzalo Stampa sebagai penimbang tara oleh Mahkamah Sepanyol sebelum ini telah dibatalkan, sekali gus membatalkan semua asas tindakan sejurus itu.

Menerusi satu kenyataan, beliau menjelaskan atas dasar itu tiada pengiktirafan dan penguatkuasaan bagi Final Award boleh dilaksanakan.

Selain itu, bagi alasan kedua, mahkamah memutuskan bahawa Perjanjian 1878 tidak mempunyai klausa timbang tara yang sah memandangkan klausa yang merujuk kepada Konsul General Borneo untuk menyelesaikan apa-apa pertikaian tidak boleh disifatkan sebagai satu klausa timbang tara.

Manakala bagi alasan ketiga, Mahkamah Rayuan Belanda mendapati bahawa Award tersebut tidak dapat diiktiraf dan dikuatkuasakan di Belanda berikutan penangguhan pelaksanaan Final Award di Perancis.

"Keputusan itu mengesahkan pendirian Malaysia bahawa keseluruhan proses timbang tara, termasuk Final Award yang dikeluarkan adalah tidak sah.

"Oleh itu, pihak penuntut Sulu tidak mempunyai asas perundangan untuk merampas aset Malaysia di Belanda.

"Penghakiman bersejarah itu juga merupakan petunjuk bahawa apa-apa usaha lanjutan oleh pihak penuntut dan pembiaya mereka untuk menguatkuasakan Final Award ini di bidang kuasa lain adalah sia-sia," katanya.

(Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto fail Bernama)

Keputusan Mahkamah Rayuan Belanda itu mengesahkan pendirian Malaysia bahawa timbang tara komersial yang telah dilaksanakan terhadap Malaysia oleh pihak penuntut Sulu yang berpotensi menggugat integriti sistem timbang tara antarabangsa secara keseluruhan, kini telah dijamin melalui keputusan ini.

"Pada masa yang sama, Kerajaan Malaysia telah mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk memperolehi pembayaran kos daripada pihak penuntut, rentetan keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023 yang mengekalkan penentangan Malaysia terhadap 'Penghakiman Awal' Dr. Stampa terhadap bidang kuasa," tambah beliau.

Tegas Azalina lagi, Kerajaan MADANI akan sentiasa memastikan bahawa kedaulatan, keselamatan, dan kepentingan Malaysia sentiasa terjamin dan ditegakkan pada setiap masa.

Media Baharu