PADANG BESAR, 28 Jun - Sebanyak 104 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis kepada pemandu warga asing dalam tempoh enam bulan ini.
Pengarah JPJ Negeri, Fatimah Mohamed Ali Piah berkata jumlah itu direkodkan sejak Januari hingga semalam dalam Operasi Khas Pemandu dan Penunggang Warga Asing (PEWA).
Ops PEWA dilaksanakan dengan kerjasama Teknikal di Padang Besr dan Wang Kelian serta sempadan Kedah-Perlis di Changlun, Kodiang dan Simpang Empat.
"Ops PEWA menyasarkan pemandu-pemandu warga asing khususnya warga Thailand yang gagal mematuhi Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Daripada 104 notis yang dikeluarkan, 69 gagal mematuhi syarat Permit Peredaran Antarabangsa (ICP), 13 kesalahan teknikal dan 11 tiada lesen memandu," katanya kepada media di sini bersempena Hari Raya Aidiladha di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.
Katanya, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas seperti kompaun serta merta dan menyita kenderaan dari Thailand.
"Semua pengguna jalan raya dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan agar situasi selamat di jalan raya sekali gus mengurangkan kadar kematian," katanya.