KUALA TERENGGANU, 28 Jun- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah menerima 2,235 permit penyembelihan bersempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Jumlah itu melibatkan 5,181 haiwan ternakan lembu, kerbau dan kambing.
Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man berkata jumlah tersebut merangkumi 5,078 ekor lembu, 28 ekor kerbau, 52 ekor kambing dan dua ekor bebiri.
Permohonan permit telah berakhir semalam, namun dilanjutkan hingga 1.00 tengah hari tadi bagi membolehkan orang ramai mendapatkan permit sebelum Aidiladha.
Permit itu juga bagi memastikan haiwan korban bebas sebarang penyakit yang boleh memudaratkan manusia apabila memakannya.
"Ibadah korban ini satu ibadah yang sangat dimuliakan. Orang kata nak pastikan daging korban yang kita korbankan itu adalah baik, bersih dan selamat untuk dimakan, haiwan ternakan dalam keadaan baik.
"Pihak jabatan memang berhasrat memastikan haiwan ternakan diperiksa lebih awal," kata Dr Anun kepada media di sini.
Menurut beliau, 70 kakitangan JPV Terengganu akan bertugas membuat pemeriksaan sepanjang sambutan Aidiladha kali ini.
10 rumah sembelihan akan beroperasi di seluruh Terengganu di samping lokasi penyembelihan lain yang telah diwartakan sebagai pusat penyembelihan.
(Doktor Anun berkata 2,235 permit penyembelihan Sempena sambutan Aidiladha tahun ini)