PUTRAJAYA, 18 Januari- Bersempena perayaan Tahun Baharu Cina, tawaran kadar tol percuma selama dua hari akan dinikmati pengguna lebuh raya seluruh negara, melibatkan semua kelas kenderaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tol percuma itu akan bermula dari pukul 12.01 pagi 20 Januari hingga 11.59 malam 21 Januari.
"Jadi untuk itu Menteri Kerja Raya dan Menteri Pengangkutan telah mengambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi dan bersetuju supaya ditiadakan tol bagi 20 dan 21 Januari ini.
"Ini untuk memudahkan kerana ramai yang akan pulang ke kampung bukan saja yang berbangsa Cina tetapi juga Melayu dan India," katanya.
(Datuk Seri Anwar Ibrahim)
Beliau menyatakan demikian selepas pasca mesyuarat kabinet Kerajaan Perpaduan, di sini hari ini.
Anwar turut menasihati orang ramai yang akan memulakan perjalanan bercuti atau pulang ke kampung supaya berhati-hati ketika memandu dan mematuhi peraturan jalan raya ditetapkan.