SEPANG, 18 Januari - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan meningkatkan pemantauan operasi syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang berikutan pertambahan trafik udara menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kassim memaklumkan pemeriksaan meliputi aspek keselesaan penumpang serta pengalaman pengguna di lapangan terbang.
Pihak MAVCOM juga katanya telah mengeluarkan surat peringatan kepada semua syarikat penerbangan domestik supaya mematuhi jadual penerbangan dan peraturan yang ditetapkan.
"Musim Tahun Baharu Cina 2023 dan secara keseluruhannya pada hari ini kita nampak lancar... penumpang pun belum begitu ramai lagi tetapi esok jangkaan kita dan dua hari akan datang bilangan penumpang akan meningkat dengan banyak.
"Sebab itu kita hendak syarikat penerbangan dan juga pihak lapangan terbang untuk menghadapi pelbagai kemungkinan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemeriksaan operasi penerbangan di KLIA dan KLIA2, di sini.
Tambah Saripuddin, MAVCOM juga telah meluluskan 25 lagi penerbangan tambahan bagi laluan domestik bermula hari ini sehingga 31 Januari.
Ini menjadikan keseluruhan sebanyak 316 penerbangan tambahan telah diluluskan berbanding 291 penerbangan tambahan yang diumumkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pada 6 Januari lepas.