PUTRAJAYA, 18 Januari - Majikan boleh membuat permohonan untuk mendaftar pekerja asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bermula 27 Januari ini.
Program yang tamat pada 31 Disember lepas itu disambung semula sehingga hujung tahun ini bagi memenuhi keperluan tenaga kerja asing.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bekata lapan sektor dan subsektor terlibat terdiri daripada sektor perkilangan, pembinaan, perlombongan dan kuari serta pengawal keselamatan.
Selain itu, sektor perkhidmatan, pertanian, dan perladangan turut dibenarkan termasuk satu sektor baru yang ditambah iaitu sektor pembantu rumah asing.
"Majikan boleh mendaftarkan maklumat pekerja mereka secara online di dalam sistem imigresen iaitu https://imigresen-online.imi.gov.my.
"Selepas majikan mendaftar mereka akan mendapat satu tarikh sistem temujanji online. Imigresen memohon kerjasama semua majikan untuk datang pada tarikh dan masa yang ditetapkan ini untuk mengelakkan berlakunya kesesakan dan membolehkan imigresen memproses permohonan mereka dengan lebih cepat," katanya dalam sesi taklimat bersama media, di sini.
Khairul Dzaimee turut mengingatkan majikan untuk berurusan terus dengan pihak imigresen kerana tiada orang tengah atau pihak lain yang dilantik untuk melaksanakan program tersebut.
Justeru, pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang didapati menjalankan aktiviti dan kegiatan berkaitan pelaksanaan program tersebut.