BUTTERWORTH, 18 Januari - Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Butterworth hari ini mengenakan denda RM10,000 dan penjara 10 hari terhadap pemandu van kilang, selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada seorang anggota polis dua tahun lalu.
Tertuduh M. Kalaithasan, 53 tahun membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara 10 hari bermula hari ini dan sekiranya tertuduh gagal membayar denda berkenaan dia boleh dipenjara lima bulan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan wang tunai berjumlah RM200 kepada seorang anggota polis berpangkat koperal.
(FOTO HIASAN)
Suapan itu sebagai dorongan untuk mengelak daripada ditahan atau disaman, kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (NO.3) 2021, iaitu membawa lebih muatan orang melebihi kapasiti yang dibenarkan mengikut SOP PKP 3.0.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 28 Jun 2021, pukul 5.10 petang di Bukit Tengah dalam Daerah Seberang Perai Tengah dan didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqa Liyana Rozman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.