fb fb fb fb fb

Tokoh qariah Datuk Rogayah Sulong meninggal pada usia 81 tahun

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Bekas johan qariah tilawah al-Quran peringkat kebangsaan, Datuk Rogayah Sulong menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 81 tahun, di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) awal pagi tadi.

Cucu saudaranya Mohd Faizal Hassan, 39, berkata Allahyarham disahkan meninggal dunia pada 8.17 pagi tadi selepas tiga hari menerima rawatan di hospital berkenaan.

Memetik laporan BERNAMA, Mohd Faizal berkata Rogayah pada hujung usianya tetap aktif mengajar al-Quran.

Katanya, jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan selepas zuhur di tanah perkuburan Islam Kampung Banggol Tuan Muda, Terengganu.

“Allahyarham pernah menerima anugerah sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan daripada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah pada 2012,” katanya Faizal kepada Bernama.

(Allahyarham Datuk Rogayah Sulong bersama dengan Trofi Johan Qariah Antarabangsa pada tahun 1978/FOTO Jheat Terengganu)

Beliau dilahirkan pada 24 Januari 1942 di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir Terengganu.

Allahyarham pernah dinobatkan juara qariah kejohanan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada 1963, 1973, 1974, 1978 dan 1979.

Beliau juga menerima penghormatan sebagai Tokoh Wanita Terengganu 2010.

Sejak kecil Datuk Rogayah dibesarkan oleh ibu dan bapanya yang bekerja sebagai petani dan bercucuk tanam.

“Allahyarham yang mendirikan rumahtangga dengan Allahyarham Megat Othman Megat Chik tiada anak, jadi ibu saya yang merupakan salah seorang anak saudaranya, dipelihara oleh arwah sejak kecil,” katanya.

Allahyarham dibesarkan dalam keluarga yang menitikberatkan akhlak, al-Quran dan pendidikan agama sejak dari kecil.

Malah Allahyarham juga dididik dalam suasana cintakan al-Quran.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham menghidupkan kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad dengan mengajar al-Quran kepada orang ramai.

Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi buah pinggang.

Media Baharu