fb fb fb fb fb

SPRM perinci keterangan baharu kes kecurian REE

(Kes kecurian besar-besaran dilaporkan berlaku di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik)

KUALA LUMPUR, 9 Ogos- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysi (SPRM) memperoleh keterangan baharu berhubung isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Kedah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut ekoran kepada petunjuk baharu itu.

"Pegawai penyiasat saya melihat keterangan dan bukti baharu itu, sebab itu ada soalan timbul tentang bila kita memanggil menteri besar Kedah ia masih lagi ditangguhkan lagi kerana ia perlu melihat kepada keterangan baharu,"katanya.

Beliau tidak menolak akan memanggil individu penting bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

Tan Sri Azam bercakap pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 27 Bil 2/2022, di Kuala Lumpur.

Terdahulu, 75 pegawai kadet Penguasa Gred P41 berjaya menjalani kursus asas dan dianugerahkan Postgraduate Diploma in International Law Enforcement: Anti-Corruption Leadership (Level 7).

Sementara itu dalam perkembangan berlainan, SPRM akan mengemukakan permohonan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memasukkan nama dua individu termasuk menantu bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke dalam senarai notis merah Polis Antarabangsa (Interpol), jika gagal tampil untuk menghadapi pendakwaan.

Tan Sri Azam Baki berkata Muhammad Adlan Berhan, 48, dan Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

"Kami juga telah membuat permohonan kepada pihak berkuasa agar pasport antarabangsa mereka disenarai hitam," katanya.

Beliau berkata SPRM telah banyak kali berhubung dengan peguam kedua-dua individu terbabit, namun mereka masih gagal tampil ke pejabat SPRM seperti yang diarahkan.

Mengulas lanjut, Tan Sri Azam berkata SPRM mempunyai maklumat mengenai keberadaan individu berkenaan, namun enggan mendedahkannya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil Tan Sri Muhyiddin sekiranya diperlukan bagi membantu kes itu.


(Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki)

Media Baharu