fb fb fb fb fb

'Cashless Melaka' sasar penyertaan 4,000 peniaga

(Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Mohd Noor Helmy Abdul Halim)

DUYONG, 9 Ogos- Seramai 4,000 peniaga dan penjaja disasar sertai inisiatif 'Cashless Melaka' menjelang hujung tahun ini bagi menggalakkan transaksi bayaran tanpa tunai.

Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Mohd Noor Helmy Abdul Halim berkata lebih 1,200 peniaga dan penjaja telah menyertainya sejak dilaksana pada Mac lepas sempena Ramadan.

“Macam tapak pasar malam yang kita ada sekarang, sebanyak RM180,000 telah dibelanjakan ke arah transformasi peniaga. Kalau kita lihat, sekarang khemahnya sudah seragam, dan sepatutnya apron mereka juga seragam. Daripada segi fasiliti kita dah tambah baik dan padawaktu malam meriah sini.

"Tetapi minda penjaja kita perlu ubah supaya mereka bersedia untuk bersaing dalam norma yang lama tetapi dalam keadaan yang lebih baik dengan tambah menambah nilai produk-produk mereka sendiri,"kata Mohd Noor Helmy.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Cashless Melaka Walkabout @ Pasar Malam Taman Seri Duyong.

Mohd Noor Helmy berkata bagaimanapun, sehingga kini pihaknya mendapati kesedaran mengenai transaksi bayaran tanpa tunai itu masih rendah dalam kalangan masyarakat terutamanya peniaga yang sudah sekian lama menggunakan transaksi tunai.

Justeru, kempen promosi dan inisiatif Cashless Melaka giat dijalankan dalam memacu agenda masyarakat tanpa tunai di negeri itu.

Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyediakan insentif pulangan semula 'cashless' RM20 bagi setiap pembelian RM30 ringgit bagi memacu peralihan transformasi digital di Melaka.

Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd Yassin berkata inisiatif itu adalah antara kempen promosi dan kesedaran dibangunkan dalam kalangan masyarakat serta menggalakkan semua peniaga menggunakan alternatif pembayaran tanpa tunai.

Tambahnya, terdapat peningkatan pendapatan 2.5% dalam kalangan peniaga sejak pelaksanaan tanpa tunai dilaksanakan di bazar Ramadan pada Mac lalu.

“Peningkatan sebanyak 2.5% daripada perniagaan mereka telah meningkat, jadi ini sesuatu yang kita galakkan supaya bukan sahaja masyarakat tetapi juga peniaga harus melihat bahawa transformasi digital merupaka satu aspek lagi dalam meningkatkan kualiti perniagaan,"kata Zulkarnain.

Bagi peniaga pula, penggunaan transaksi tanpa tunai membantu memudahkan urusan jual beli bersama para pelanggan.


(Ketua Pegawai Kawal Selia MCMC, Zulkarnain Mohd Yassin)

Media Baharu