fb fb fb fb fb

Lebih 90% projek penyelenggaraan kuarters & premis KDN RMKe-12 giat dilaksanakan

(Foto hiasan/FB)

KUALA LUMPUR, 9 Ogos -Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas (Taskforce) Projek Penyelenggaraan Kuarters, Premis dan Fasiliti Agensi KDN bagi memastikan projek-projek yang diluluskan bawah Rancangan Malayisa ke-12 (RMKe-12) dapat dilaksanakan dengan segera dan memberi impak kepada penerima-penerima manfaat.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Haji Ruji Haji Ubi dalam satu kenyataan memaklumkan sehingga 5 Ogos lalu, daripada sejumlah 640 projek, sebanyak 90.1% sedang giat dilaksanakan di tapak, manakala 9.9% masih dalam peringkat perolehan.

Jelasnya KDN telah menerima peruntukan Rolling Plan 3 Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP3 RMKe-12) sebanyak RM200 juta (Fasa 1) bagi Projek Penyelenggaraan Kuarters Agensi di Bawah KDN kepada jabatan atau agensi.

“Agihan seperti berikut Polis Diraja Malaysia (RM98,715,000.00), Jabatan Penjara Malaysia (RM41,000,000.00), Agensi Antidadah Kebangsaan (RM31,285,000.00), Jabatan Imigresen Malaysia (RM19,000,000.00) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (RM10,000,000.00),” menurut kenyataan tersebut.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta bagi kerja-kerja pembaikan kuarters, premis dan fasiliti bawah agensi KDN (Fasa 2).

Pengagihan peruntukan adalah Polis Diraja Malaysia (RM145,000,000.00), Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) RM40,000,000.00 dan Jabatan Penjara Malaysia (RM15,000,000.00)

“Gerak kerja pelaksanaan projek bawah kelulusan Fasa 2 ini sedang rancak dimulakan dan dijangka siap dilaksanakan selewat-lewatnya Disember 2023,” menurut kenyataan sama.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim)

Media Baharu