KUALA LUMPUR, 25 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan membabitkan tiga tahap; bahaya, buruk dan waspada berkuat kuasa sehingga 26 November meliputi sebahagian besar negeri di Pantai Timur, Utara serta kawasan tertentu di Perak dan Pahang.
MET Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, amaran kategori bahaya dikeluarkan dengan jangkaan hujan sangat lebat berterusan berlaku di Kelantan meliputi Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh serta Terengganu di Besut.
Bagi amaran kategori buruk dikeluarkan dengan jangkaan hujan lebat berterusan berlaku melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, sebahagian Perak (Kerian; Larut, Matang dan Selama), kawasan pedalaman Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai) serta hampir seluruh Terengganu, merangkumi Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.
Sementara itu, amaran kategori waspada dikeluarkan dengan jangkaan hujan berterusan melibatkan Perak (Hulu Perak, Manjung), Kelantan (Gua Musang) dan beberapa kawasan di Pahang, termasuk Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut dan Kuantan.
Dalam pada itu MET Malaysia menasihatkan orang ramai, khususnya di kawasan berisiko banjir peka dengan perubahan cuaca dan mengikuti perkembangan terkini melalui portal rasmi jabatan itu, aplikasi myCuaca serta saluran media sosial jabatan berkenaan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi talian hotline MET Malaysia menerusi 1-300-22-1638.