fb fb fb fb fb

TNB tanggung kos rawatan budak lelaki melecur terkena renjatan elektrik

Ketua Zon Aset, TNB Pulau Pinang, Ir. Anan Eyam (kanan) mewakili TNB menyampaikan sumbangan ihsan kepada Mohd Khairi Abdul Ghani, bapa kepada mangsa/FOTO TNB

KUALA LUMPUR, 18 November - Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menyalurkan segala bantuan termasuk menanggung kos rawatan dan perubatan kanak-kanak lelaki yang melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Khamis lalu.

TNB menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya akan memastikan Mohd Dawisy Zarif, 12, mendapat rawatan yang terbaik.

"Wakil Pengurusan TNB telah pun menyantuni ibu bapa mangsa di Hospital Pulau Pinang (HPP) semalam.

"Dalam lawatan itu, Ketua Asset Zone TNB Pulau Pinang, Ir. Anan Eyam turut menyampaikan bantuan pendahuluan segera kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka," katanya yang turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa kanak-kanak itu.

Tambah kenyataan itu, TNB turut menubuhkan pasukan siasatan dalaman selaras dasar operasi syarikat yang memberi keutamaan kepada keselamatan.

"Susulan kejadian itu, TNB bekerjasama dengan pihak PDRM dan Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi membantu siasatan," jelasnya.

Terdahulu media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun melecur hampir seluruh badan akibat terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa TNB di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu petang Khamis.

Ketika kejadian mangsa difahamkan memasuki fasiliti milik TNB untuk mengambil bola miliknya dari dalam premis berkenaan.

Mangsa yang melecur sehingga 50 peratus kini terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan dan terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP.

GRACE AISYAH KEDAYAN