KANGAR, 29 April- Sebanyak 76 buah rumah dibina Perlis menerusi Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad, bagi tempoh 2018 hingga 2021.
Jumlah itu melibatkan peruntukan sebanyak RM3.66 juta.
Menurut Pemangku Pengurus Besar Negeri Utara dan Pengurus Bahagian Strategi dan Kawal Selia TNB, Johari Lamsi, peruntukan berkenaan bagi membina rumah baharu untuk golongan terpilih serta projek rumah Mesra Rakyat untuk bukan Islam.
"Secara dasar, penerima bantuan projek membaik pulih, membina baharu atau membiayai pembelian rumah kediaman untuk Projek Baiti Jannati diiktiraf sebagai golongan yang layak menerima zakat oleh Majlis Agama Islam negeri," katanya.
Beliau mengiringi Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man menyerahkan dua buah rumah yang siap dibina.
Dua orang penerima bantuan bina baharu kediaman menerusi projek ini adalah Zulkeflee Khaleed dari Jalan Padang Melangit, Kg. Abi Padang Machang dan En. Saiful Redzuan Azhari dari Jalan Behor Temak, Kg. Batu Hampar.
Selain itu, turut berlangsung majlis penyerahan sumbangan bantuan kelengkapan sekolah melalui Program Ceria Ke Sekolah TNB Tahun 2022.
(Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man bersama salah seorang penerima bantuan bina baharu kediaman menerusi Projek Baiti Jannati TNB)