fb fb fb fb fb

JBPM siap siaga sebarang kes kecemasan menjelang Aidilfitri

KUANTAN, 29 April- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap siaga sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kes kecemasan sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Persediaan meliputi anggota dan aset.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib berkata 80 peratus daripada lebih 14,000 anggota JBPM akan bertugas dalam Operasi Aidilfitri tahun ini.

Fokus tidak hanya tertumpu kepada kes kebakaran dan kemalangan jalan raya semata-mata, malah kemalangan air seperti lemas.

Ini memandangkan, kebanyakan masyarakat akan mengambil peluang memanfaat cuti perayaan dengan beriadah di kawasan pantai atau sungai.

"Bomba telah mengenal pasti 18 lokasi tumpuan kemalangan air yang meragut nyawa di seluruh negara. Jadi, kawasan sungai dan tali air mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 13 daripada 18 lokasi ini," kata Ismail kepada pemberita RTM selepas program Iftar bersama warga Parlimen Maran, di sini.

(Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abdul Muttalib menyatakan perkara itu selepas
program Iftar bersama warga Parlimen Maran)

18 lokasi panas kemalangan air yang berisiko meragut nyawa meliputi 13 daripadanya membabitkan kawasan sungai dan tali air.

Ia termasuk Sungai Batang Igan, Sungai Taman Negara Mulu dan Sungai Batu Keling di Hulu Bakun, Sarawak.

Di Perak, membabitkan Sungai Kerian di Selama, Sungai Pinji di Tambun dan Sungai Kuala Bagan Tiang manakala di Sabah, Sungai Kinabatangan dan Sungai Kampung Cenderamata Dua di Likas.

Dalam senarai sama, Sungai Pedu, Kuala Nerang dan Sungai Sik, Kedah serta Johor, jeti Tanjung Emas di Sungai Muar dan Sungai Kampung Sari, Simpang Renggam, Johor.

Lokasi air terjun dalam kategori lokasi panas kemalangan air pula ialah Air Terjun Berkelah, di Maran, Pahang dan Air Terjun Belukar Bukit di Ajil, Terengganu.

Sementara pantai yang kerap berlaku kejadian meragut nyawa membabitkan Pantai Pulau Sari, Punang di Lawas, Sarawak, Pantai Bagan Lalang, Sungai Pelek di Selangor dan Pantai Kampung Tempurung di Kuala Penyu, Sabah.

Media Baharu