fb fb fb fb fb

Aidilfitri: RTM Perlis anjur Program Destinasi Raya

ARAU, 29 April- Bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri, RTM Perlis mengambil pendekatan menganjurkan Program Destinasi Raya bagi menyambut kepulangan perantau ke Perlis sempena Aidilfitri kali ini.

Program berlangsung di sempadan Kedah-Perlis di Simpang Empat iaitu salah satu laluan utama menghubungkan kedua-dua negeri.

Menurut Exco Negeri yang juga ADUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob, program yang dilaksanakan saban tahun menjelangnya Syawal ini dengan pengagihan kuih raya kepada perantau tanda ingatan dan kesyukuran dapat pulang berhari raya bersama keluarga.

"Kesempatan ini kita bagi ialah kerana kita meraikan dah dua tahun kita tak dapat berhari raya. Kita tengok tadi pun tiap-tiap kereta dengan anak empat orang atau lima orang dalam kenderaan mereka semasa mereka lalu di kawasan ini. Walaupun kita bagi ini tak seberapa tapi sesak juga di jalan. Kebanyakan semua nak sumbangan dari kita, tak kira bubur lambuk atau pun sumbangan makanan yang kita nak bagi. Nampak mereka seronok bersama kita dalam program ini," katanya.

Beliau ditemui RTM ketika menghadiri Program Destinasi Raya yang diadakan di hadapan Balai Polis Simpang Empat.

Sebanyak 500 beg cenderahati berupa kuih raya disampaikan kepada perantau yang pulang, di samping sumbangan duit raya.

Program yang mendapat tajaan usahawan produk kecantikan Bella Park turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.


(Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim turut serta dalam Program Destinasi Raya di hadapan Balai Polis Simpang Empat, Arau)

Media Baharu