fb fb fb fb fb

TNB-SPRM, tambah baik tadbir urus dan pengurusan aset kuasa

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mei- Tenaga Nasional Berhad (TNB) bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menambah baik tadbir urus dan pengurusan aset kuasa negara.

Penambahbaikan itu sejajar dengan peranan proaktif SPRM dalam menangani rasuah berkaitan kecurian elektrik dengan sokongan Suruhanjaya Tenaga (ST).

Antara penambahbaikan di bawah kerjasama itu ialah pemasangan 'barrel lock' pada kotak meter di premis pengguna.

TNB merancang membeli 5000 unit barrel lock pada tahun 2024 menggunakan peruntukan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) tempoh ketiga (RP3) dengan pemasangan dijadualkan pada tahun 2025.

Sistem biometrik tanpa kunci juga akan dipasang secara berpandu pada Pencawang Elektrik 11kV atau peti pembekal voltan rendah (feeder pillar) yang dikenal pasti berisiko tinggi, melibatkan 3,000 unit.

Selain itu, TNB akan melaksanakan pemasangan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) secara dalam talian di Pencawang Masuk Utama dan Pencawang Pembahagian Utama di kawasan berisiko tinggi.

"Pihak TNB, seperti mana agensi lain yang buat kerjasama dengan kami, mereka ada kuasa yang terhad daripada segi penguatkuasaan terutama sekali. Jadi, SPRM di sini, membantu TNB dalam menguatkuasakan undang-undang kita, sehingga kita boleh membuat perampasan dan juga pertuduhan di mahkamah."

"Atas kerjasama TNB, ST dan juga SPRM, kita dapati jumlah yang kita kesan berkurang. Kalau kita lihat beberapa statistik ini, ia memang menunjukkan pengurangan yang amat ketara. Sebab itu juga kita menguar-uarkan kerjasama ini sebagai satu bentuk mesej kepada yang ingin melakukan perkara-perkara sedemikian," kata Tan Sri Azam.

Azam menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola di antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) yang berlangsung di ibu negara, hari ini.

Kerjasama itu dijangka dapat menyelamatkan nilai mencecah RM2 bilion.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM