KUCHING, 27 Mei- Kira-kira 160 menara telekomunikasi sudah beroperasi di Sarawak bawah Pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, sebanyak 383 menara lagi sudah siap tetapi belum beroperasi.
"Sebanyak 58 lokasi juga dikenal pasti belum memulakan perkhidmatan walaupun sudah melebihi sembilan bulan penyerahan.
"Isu rangkaian telekomunikasi merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan ringkas bersama-sama ketua-ketua komuniti MADANI bawah Parlimen Mas Gading dan juga wakil-wakil agensi bawah Kementerian Komunikasi," katanya dalam Sesi Sembang Santai bersama Komuniti MADANi di Bau.
Dalam pada itu, Teo memberitahu perbincangan bersama-sama syarikat telekomunikasi dan pihak kontraktor di Kuching juga diadakan dan ia dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pagi tadi.
Pada masa sama beliau menyatakan komitmen Kementerian Komunikasi akan bekerjasama berterusan dengan kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Negeri Sarawak untuk menyelesaikan masalah jaringan telekomunikasi di negeri itu.