fb fb fb fb fb

SPM 2023: Putrajaya catat GPN 3.43 mata

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Putrajaya, Ezaiddin Hussain

PUTRAJAYA, 27 Mei- Pencapaian keputusan SPM Tahun 2023 di Putrajaya secara keseluruhan meningkat berdasarkan indeks Gred Purata Nasional (GPN) iaitu 3.43 mata berbanding 3.52 mata pada tahun 2022.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Putrajaya, Ezaiddin Hussain berkata seramai 1,810 calon (98.85%) layak menerima sijil SPM pada tahun 2023 daripada 1,843 calon yang menduduki peperiksaan.

Daripada 1,843 calon tersebut, seramai 187 calon memperoleh keputusan cemerlang (gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran berbanding 138 calon pada tahun 2022.

Bilangan calon yang memperoleh keputusan cemerlang juga kepada 49 calon iaitu sebanyak 2.07 peratus.

"Analisis keputusan SPM 2023 diukur pada Gred Purata Negeri (GPN) di mana pencapaian calon, sejauh mana calon menguasai pembelajaran di sekolah dalam kesemua mata pelajaran yang diuji. Untuk makluman, nilai yang lebih kecil, menunjukkan prestasi yang lebih baik."

"Jadi, kalau lihat kepada trend GPN dari tahun 2021 hingga 2023 menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun iaitu bermula dengan 3.60, meningkat kepada 3.52 dan pada tahun ini 3.43," kata Ezaiddin kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.

Sementara itu, prestasi pencapaian calon SPM 2023 di Putrajaya menunjukkan peningkatan bagi semua mata pelajaran mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Begitu juga bagi mata pelajaran Sains Tulen dan Matematik Tambahan, berdasarkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

Mata pelajaran Fizik menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.29 mata GPMP iaitu 3.64 mata pada tahun 2023 berbanding 3.93 mata pada tahun 2022.

"Bagi mata pelajaran elektif STEM (Sains Gunaan dan Teknologi), dua mata pelajaran telah menunjukkan peningkatan prestasi iaitu mata pelajaran Sains Komputer menunjukkan peningkatan prestasi tertinggi sebanyak 0.78 mata GPMP dari 1.93 mata pada tahun 2023 berbanding 2.71 mata pada tahun 2022," tambahnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM