fb fb fb fb fb

Kastam rampas skuter elektrik, beedi, rokok, besi dan plastik sekerap bernilai RM121.65 juta

Norlela Ismail bercakap pada sidang media di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang

KLANG, 27 Mei- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah II (Selangor) berjaya menumpaskan cubaan penyeludupan rokok, skuter elektrik, beedi (rokok daun), skrap besi dan skrap plastik dengan anggaran cukai keseluruhan berjumlah RM121.65 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM102.84 juta melibatkan penyeludupan rokok, RM573,300 bagi skuter elektrik, RM12.5 juta melibatkan beedi, RM5.3 juta melibatkan skrap besi dan RM355,000 bagi skrap plastik.

Beliau berkata, dalam sekatan yang dibuat di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang antara Mac sehingga April itu, sebanyak 53 kontena ditahan melibatkan 11 kontena penyeludupan rokok, satu kontena melibatkan skuter elektrik, satu kontena beedi, 34 kontena skrap metal dan enam kontena skrap plastik.

Norlela berkata hasil pemeriksaan JKDM berjaya menemukan sejumlah 700 unit skuter elektrik, 500,000 batang beedi, 76.8 juta batang rokok, 716,000 kilogram skrap besi, dan 136,860 kilogram skrap plastik.

"Kalau kita tengok daripada kes-kes yang kita perolehi ini, sebanyak RM92.19 juta telah kami selamatkan daripada penyeludupan oleh sindiket dan ini merupakan satu ketirisan hasil negara walaupun kita dapat selamatkan tetapi jumlah cukai yang terlibat ini tidak dapat dizahirkan dalam bentuk tunai, ini merupakan satu kerugian kepada negara,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media JKDM di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Katanya, kesemua kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, Norlela turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat terus kepada JKDM sekiranya berlaku kegiatan berkaitan aktiviti penyeludupan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE