KUALA LUMPUR, 27 Mei- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengesan sebarang kesalahan dalam pemberian kontrak kepada suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menjelaskan, kontrak tersebut tidak berkaitan dengan tugasan atau tanggungjawab menteri tersebut.
Beliau berkata, kontrak projek rintis Demand Responsive Transit (DRT) diberikan kepada suami Hannah Yeoh oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Katanya, sekiranya seseorang itu mendapat kontrak atau manfaat daripada mana-mana entiti kerajaan tetapi yang mendapat itu tidak berkaitan dengan tugas atau tanggungjawabnya, ia bukan satu kesalahan.
"Suami dia dapat kontrak kerajaan negeri Selangor. Hannah Yeoh kerja apa?..sebagai Menteri Belia dan Sukan. Jadi saya nampak, tidak ada kaitan kerajaan negeri Selangor dengan Kementerian Belia dan Sukan.
"Itu melainkan, kalau KBS memberi projek kepada syarikat suami Hannah Yeoh. Itu mungkin lain cerita, tapi berdasarkan laporan, ini adalah merupakan satu projek atau pun kontrak yang diberikan satu entiti lain yang tidak ada kena mengena dengan Hannah Yeoh,"katanya.
Setakat ini, tiada sebarang kesalahan yang dikesan daripada segi undang-undang terhadap Menteri Belia dan Sukan itu.
Beliau berkata demikian pada Majlis menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Tenaga (ST), berlangsung di ibu negara hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Abdul Razib Dawood dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.
Dalam perkembangan berlainan, Tan Sri Azam Baki menjelaskan SPRM belum menerima sebarang pengisytiharan harta anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir.
Jelasnya, ketika ini Mirzan Mahathir dan Tan Sri Mokhzani Mahathir masih berurusan dengan pegawai SPRM berkaitan isu tersebut.