fb fb fb fb fb

TNB rugi RM440 juta akibat kecurian elektrik

Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Tenaga Nasional Berhad (TNB) mencatat kerugian lebih daripada RM440 juta akibat kecurian elektrik sejak tahun 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata jumlah kerugian menunjukkan peningkatan mendadak dari tahun ke tahun.

"Tahun 2020, anggaran kerugian hampir RM5.9 juta, 2021 sebanyak RM140 juta, 2022 RM124 juta, tahun lepas RM67 juta dan sehingga September tahun ini, kerugian telah mencecah RM103 juta.

"Kami sedang mengkaji mengapa jumlah bagi 2022 dan 2023 tidak menunjukkan peningkatan ketara. Adakah ini disebabkan oleh keadaan pasaran atau kekangan dalam tugas kami sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan enam kenderaan pacuan empat roda sumbangan TNB di Bukit Aman, di sini yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sementara itu, Pengerusi TNB Energy Services Sdn Bhd, Profesor Zahari Dollah menyifatkan kerjasama antara TNB dan polis penting, memandangkan peningkatan kes perlombongan bitcoin haram yang sering terlibat dalam kes kecurian elektrik.

Beliau berharap agar kolaborasi itu dapat diteruskan bagi mengurangkan ketirisan akibat kecurian elektrik.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN