ISKANDAR PUTERI, 3 Oktober - Kira-kira 11 premis yang menjalankan perjudian dalam talian di sekitar Iskandar Puteri dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Ini menjadikan jumlah premis judi haram yang dikenakan tindakan itu sejak Januari hingga September lalu, ialah sebanyak 18 premis.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisionar (ACP) Rahmat Ariffin berkata penganjur judi haram berselindung disebalik operasi kedai runcit dan aksesaori telefon bimbit bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
"92 serbuan melibatkan 94 tangkapan telah dibuat terhadap aktiviti perjudian loteri awam tanpa lesen dengan nilai rampasan berjumlah RM11,375 dan sejumlah (50) serbuan yang melibatkan 73 tangkapan dibuat terhadap aktiviti perjudian secara online dengan nilai rampasan RM16,582," kata Rahmat Ariffin selepas operasi pemotongan elektrik dengan kerjasama pihak Tenaga Nasional Berhad ( TNB) Johor di sekitar kawasan Iskandar Puteri.
Sepanjang tempoh itu juga seramai 68 individu terdiri daripada pekerja dan penjaga premis, lingkungan umur 18 hingga 30 tahun telah didakwa di mahkamah.
(Operasi pemotongan elektrik dengan kerjasama pihak
Tenaga Nasional Berhad ( TNB) Johor di sekitar kawasan Iskandar Puteri)