fb fb fb fb fb

Pesara kerajaan maut, dirempuh lori tangki

(FOTO RTM)

KEMAMAN, 3 Oktober- Seorang warga emas yang juga pesara Pejabat Pendaftaran Daerah Kemaman maut selepas motorsikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori tangki di sini pagi tadi.
 
Kemalangan berlaku kira-kira jam 10.45 pagi tadi di kilometer 63 Jalan Jerangau Jabor berdekatan Kampung Air Putih, Kemaman, Terengganu.
 
Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa, Sidek Mat Ariffin, 66 tahun dalam perjalanan pulang dari sebuah kedai makan berhampiran menghala ke rumahnya di Kampung Dadong dirempuh lori tangki.

Rempuhan tersebut, menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan dan motosikal mangsa diseret sejauh kira-kira lima meter oleh lori tangki berkenaan.
 
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan.
 
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan tersebut.
 
Ujian air kencing yang dilakukan terhadap pemandu lori berusia 60 tahun itu didapati negatif dan kes berkenaan akan disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
 
Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat dan urusan pengebumian.


(Lori tangki yang didakwa terlibat dalam rempuhan/FOTO RTM)

Media Baharu