fb fb fb fb fb

TMM2026: Sektor pelancongan kekal keutamaan, perkukuh ekonomi

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Sektor pelancongan kekal menjadi antara keutamaan kerajaan bagi memperkukuh ekonomi negara terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan fokus kerajaan bukan sahaja sasaran pendapatan RM329 bilion tercapai, tetapi rakyat turut dapat menikmati kesan limpahan ekonomi hasil penganjuran TMM2026.

“Kita juga nak pastikan pelancongan ini dapat memberi manfaat kepada semua daerah. Jadi kita juga ada tarikan yang baik di Sabah, Sarawak dan beberapa negeri lain di Semenanjung. 

“Tetapi dengan mengukuh ringgit ada juga masalah sampingannya. Rakyat Malaysia melancong ke luar itu terlalu tinggi terutama ke Thailand, Jepun sebahagiannya dan Indonesia,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemuka Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin berhubung ketersediaan kerajaan menjayakan TMM2026 di Dewan Rakyat.

Sementara itu, kerajaan optimis sasaran pendapatan TMM2026 boleh dicapai dengan kempen promosi yang lebih besar yang giat dilaksanakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Bagi tahun 2024, 38 juta pelancong datang dan hasil negara itu kita jangka kalau dengan promosi lebih besar, lebih berkesan akan membawa hasil yang jauh lebih tinggi bagi negara.

“Soal MOTAC, tentu dalam kegiatan dia membuat libat urus dengan syarikat penerbangan. Kemudian agensi pelancongan lain, hotel dan restoran untuk mendengar pandangan mereka bagaimana boleh tingkatkan promosi ini,” jelas beliau lagi.

Promosi TMM2026 dilakukan dengan memberi fokus 70 peratus secara digital, manakala 30 peratus secara konvensional.

Selain itu, mengulas mengenai rakyat Malaysia yang lebih gemar melancong ke negara lain, Datuk Seri Anwar memaklumkan inisiatif kerajaan memberikan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 dalam Belanjawan 2026 bertujuan menggalakkan pelancongan domestik dalam kalangan rakyat Malaysia.

ROSLINA BINTI DIN