fb fb fb fb fb

MOT, JPJ perketat tindakan terhadap pengendali berisiko tinggi

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bercakap dalam sidang media selepas majlis perhimpunan dan ikrar bebas rasuah JPJ

PUTRAJAYA, 14 Oktober -Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan kerangka pentadbiran baharu bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih tegas terhadap syarikat pengendali berisiko tinggi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, melalui pelaksanaan kerangka itu, lesen dan permit operasi syarikat boleh digantung atau dibatalkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sekiranya pengendali didapati berulang kali melakukan kesalahan, selain dikenakan saman JPJ.

"Langkah tegas ini bertujuan membanteras sikap segelintir pengendali yang menjadikan saman sebagai kos operasi, sekali gus memastikan setiap syarikat bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan dan pematuhan undang-undang pengangkutan," katanya dalam sidang media selepas majlis perhimpunan dan ikrar bebas rasuah JPJ, di sini.

Beliau turut memaklumkan, hasil Operasi Khas Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) terhadap 500 syarikat pengendali antara Jun hingga Julai lalu, mendapati 54.43 peratus gagal mematuhi peraturan, menggambarkan tahap ketidakpatuhan yang serius.

Langkah tersebut, katanya, menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh akauntabiliti industri pengangkutan serta memastikan keselamatan awam sentiasa menjadi keutamaan.

TETITIA YUSOFF