KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Sebanyak RM135 juta diperuntuk bawah Belanjawan 2025 bagi melaksanakan Program Ubah Suai Naik Taraf (USNT) institusi pendidikan di seluruh negara.
Jelas Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, ia sebagai langkah berterusan ke arah memastikan keselamatan dan keselesaan murid serta warga pendidik.
Katanya, program itu dilaksanakan khusus bagi menaik taraf bangunan sekolah yang dikategorikan sebagai Skala 6, bagi mengelakkan ia tergolong dalam kategori bangunan daif (Skala 7).
"Pada tahun 2025, sebanyak 300 projek telah terlibat dalam pelaksanaan USNT. Antaranya 79 projek telah siap, 203 projek dalam pelaksanaan dan 18 projek masih di peringkat perancangan. Ini statistik untuk seluruh negara," katanya semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, di Dewan Rakyat.
Menurut beliau, KPM kekal komited dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang selamat dan kondusif untuk murid di seluruh negara.
"Hingga 27 September 2025, KPM telah menyalurkan peruntukan penyelenggaraan institusi pendidikan serta sumbangan bantuan penyelenggaraan termasuk inisiatif khas tandas dan musala sebanyak RM1.65 juta bagi 48 buah sekolah di Parlimen Hulu Langat. "