KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Dua pihak utama, iaitu pengedar serta pembekal borong dan peruncit, akan diberi tumpuan dalam pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Deepavali akan datang.
Ketua Pengarah Bahagian Penguat Kuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata langkah itu bertujuan memastikan rantaian bekalan daripada peringkat pembekal hingga ke penjual runcit mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Oleh itu, tidak ada sebab untuk mana-mana pihak menaikkan harga barang, kerana melalui pelaksanaan SHMMP ini, margin keuntungan yang munasabah telah diberikan dan diwartakan untuk dipatuhi sepanjang tempoh kawalan harga ini. Maka, tiada pihak yang sepatutnya mengalami kerugian sepanjang tempoh pelaksanaan skim ini," katanya selepas Program Selamat Pagi Malaysia (SPM), di Angkasapuri.
Tambahnya, peniaga yang didapati menjual barangan melebihi harga maksimum yang ditetapkan bawah skim ini boleh dikenakan denda hingga RM100,000.
Sementara itu, kegagalan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu, iaitu penanda wajib bagi barangan bawah skim tersebut, boleh dikenakan denda hingga RM10,000.
Terdahulu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata sembilan jenis barangan keperluan asas disenaraikan bawah SHMMP bersempena Deepavali 2025 dan akan dilaksanakan selama tujuh hari bermula 16 hingga 22 Oktober.
Antaranya, daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah dan kacang dal.