KUALA LUMPUR, 14 Oktober -Malaysia menyokong secara bersyarat inisiatif keamanan yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat bagi menghentikan keganasan dan serangan berterusan di Gaza.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia bersama beberapa negara Islam lain, mendukung inisiatif tersebut atas dasar kemanusiaan.
Beliau menuntut agar pelan berkenaan mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, menyelesaikan semua isu termasuk di Tebing Barat, serta mengembalikan hak rakyat Palestin yang terusir dari Gaza.
"Begitu juga apabila dalam mendukung kenyataan inisiatif Presiden Trump ini selari dengan pendirian beberapa negara islam lainya iaitu pertama kita mahu usaha damai ini dimeterai, kerana pembunuhan, pengeboman rakyat termaksud wanita dan anak anak itu berterusan. Ini wajib dihentikan segera.
"Kedua, keadaan di Gaza terlalu tenat. Jadi atas pertimbangan itu kita apa juga inisiatif dan kebetulan Presiden Donald Trump yang mengambil inisiatif itu dan kita memberikan sokongan dan kita lihat semalam di Sham El-Sheikh beberapa hari lalu ada rundingan yang ditaja oleh Mesir, Qatar dengan kerjasama Jordan dengan kehadiran wakil AS, Israel dan Hamas." katanya.
Beliau menjawab soalan ahli Parlimen Paya Besar mengenai pendirian Kerajaan Malaysia terhadap Pelan Damai yang dikemukakan oleh Presiden Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin-Israel sesama sesi pertanyaan menteri, di Parlimen.
Datuk Seri Anwar turut memaklumkan, pihak pejuang Hamas telah mengutus surat khas bertarikh 7 Oktober kepada beliau bagi menyatakan komitmen terhadap rundingan damai, dengan syarat serangan dihentikan serta bantuan kemanusiaan segera disalurkan ke Gaza.
Setakat semalam, hanya 167 trak bantuan dibenarkan masuk ke wilayah berkenaan, berbanding 600 trak seperti yang dijanjikan, dan keadaan itu terus dipantau oleh negara-negara Arab dan Islam.
Dalam pada itu Datuk Seri Anwar memaklumkan Malaysia menyatakan kesediaan untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza sebagai langkah menjamin keamanan di wilayah itu.
Komitmen tersebut dibuat susulan perjanjian pelan damai 20 Perkara yang ditandatangani di Mesir, semalam.
Menurut beliau, cadangan itu akan dibincangkan terlebih dahulu di peringkat Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), sebelum dibawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk pertimbangan dan kelulusan.
"Tentang cadangan pasukan pendamai, itu akan dibincangkan oleh Liga Arab, OIC dan sebaik majlis keselamatan bangsa bersatu PBB bersetuju, Malaysia bersedia kalau diminta dan diperlukan. Selama ini kita tidak pernah menolak, ada sahaja pasukan pendamai, kita akan kirim dan saya setuju pasukan pendamai itu sekurang-kurangnya jaminan yang terbaik untuk menjamin keamanan untuk Gaza." katanya.