KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Lebih 46 juta pelancong tempatan dan antarabangsa disasar melawat ibu negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Dan bagi mengekalkan Kuala Lumpur sebagai hab pelancongan utama serantau, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Kalendar Acara Kuala Lumpur 2026, yang menghimpunkan pelbagai program serta aktiviti menarik sepanjang tahun.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif memaklumkan, pelbagai acara telah disusun sepanjang tahun bermula Januari hingga Disember 2026.
"Pelbagai program akan diadakan setiap bulan, bermula dari Januari hingga Disember, dimulakan dengan sambutan Ambang Tahun Baharu dan diteruskan sepanjang tahun.
"Inisiatif ini merupakan komitmen Dewan Menara Kuala Lumpur bersama rakan-rakan strategik di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Tourism Malaysia, serta pihak swasta dan komuniti bagi memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai hab pelancongan, bukan sahaja di rantau ASEAN tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya di sini.
Lagu dan video rasmi VisitKL 2026, serta pengenalan bas Hop-On Hop-Off versi baharu ‘Ronda-Ronda Kuala Lumpur’ turut dilancar, yang dilengkapi sistem komen pintar berasaskan kecerdasan buatan dalam lebih 20 bahasa dan sokongan teknologi 5G.
Berteraskan konsep 'Bandar Raya Sentiasa Hidup', Kalendar Acara Kuala Lumpur 2026 mengetengahkan pelbagai acara pelancongan, seni dan budaya sepanjang tahun.
Beliau juga memaklumkan, Festival Orkestra Kuala Lumpur sebagai antara acara utama yang menjadi tarikan berimpak tinggi, dengan penyertaan pemuzik dari pelbagai negara.