KOTA BELUD, 31 Oktober - Operasi di semua 125 pintu masuk antarabangsa di seluruh negara dijangka diambil alih sepenuhnya Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS) menjelang 1 Januari 2026.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya kini memasuki fasa kedua pengambilalihan dan penyelarasan operasi di 103 lagi pintu masuk negara.
Fasa pertama selesai dilaksanakan selepas 22 pintu masuk kini beroperasi bawah AKPS.
"Kita telahpun diarahkan Ketua Setiausaha Negara untuk menyiapkan segala bentuk pelan strategik yang akan dibentangkan kepada beliau dan juga Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dalam usaha mempercepatkan lagi dan memperkemaskan lagi penubuhan AKPS." katanya ketika ditemui media di Kota Belud, Sabah.
Tambah beliau, mesyuarat seterusnya yang dijadualkan pada minggu kedua November akan melibatkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi memperhalusi aspek kaedah kerja, sumber manusia dan keperluan aset.
"So insya-Allah, minggu kedua bulan November nanti mesyuarat yang melibatkan semua agensi dalam AKPS itu sendiri serta Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, JPA, MOT akan memperhaluskan lagi kaedah kerja, kekuatan sumber manusia, aset dan sebagainya. Itu untuk fasa kedua. So, kita sure and confident we can achieve it (pasti dan yakin akan berjaya menjelang by January 2026," katanya lagi.
Mengulas perbandingan dengan agensi kawalan sempadan luar negara seperti Pasukan Sempadan Australia dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura, Datuk Seri Shuhaily menjelaskan bahawa proses penstabilan operasi lazimnya mengambil masa hampir sedekad, sedangkan AKPS baru berusia 12 bulan dan masih memerlukan masa.
Beliau menyeru rakyat Malaysia agar bersabar dan menghormati proses pemeriksaan di pintu masuk negara, sebagai tanda penghormatan terhadap kedaulatan sempadan.
Sementara itu, mengulas isu aduan atau insiden di beberapa pintu masuk termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Datuk Seri Shuhaily menegaskan, bahawa setakat ini tiada laporan serius diterima melibatkan pegawai atau sistem AKPS.
Beliau menjelaskan, setiap aduan akan disemak dengan teliti melalui kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan keterangan saksi bagi memastikan keadilan bukan sahaja kepada pengadu, tetapi juga kepada pegawai barisan hadapan yang bertugas dengan penuh dedikasi.