fb fb fb fb fb

TMM 2026: Kota Kuala Kedah jadi destinasi warisan, pacu pelancongan & ekonomi setempat

Foto RTM

KUALA KEDAH, 26 Disember - Kota Kuala Kedah disenaraikan sebagai antara destinasi tumpuan pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026), sekali gus mengangkat warisan sejarah dan keunikan budaya negeri Kedah ke peringkat pelancongan nasional serta antarabangsa.

Pemilihan Kota Kuala Kedah sebagai destinasi pelancongan strategik dijangka mampu memperkenalkan khazanah sejarah, seni bina tradisional serta keindahan pesisir pantai Kuala Kedah kepada pelancong tempatan dan luar negara.

Selain itu, inisiatif tersebut diyakini dapat merancakkan ekonomi setempat dengan membuka peluang kepada usahawan kecil, penggiat seni budaya serta komuniti nelayan melalui pembangunan aktiviti pelancongan secara mampan.

Antara tarikan utama yang bakal diketengahkan termasuklah Kota Kuala Kedah, Muzium Kota Kuala Kedah, jeti nelayan tradisional, serta panorama matahari terbenam di Selat Melaka.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Generasi Gemilang Parlimen Kuala Kedah, Datuk Mutalib Harun, berkata TMM 2026 merupakan platform penting untuk menghidupkan semula Kota Kuala Kedah sebagai destinasi warisan unggul.

"Kami mengalu-alukan kehadiran pelancong tempatan dan luar negara ke Kedah. Sehubungan itu, saya memohon agar Kerajaan Persekutuan dapat membantu menaik taraf kemudahan yang diperlukan di Muzium Kota Kuala Kedah, khususnya laluan masuk, bagi memudahkan pergerakan dan keselesaan pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Unityfest 2025 di sini, hari ini.

Program tersebut dirasmikan oleh Pengarah Pembangunan Komuniti Majlis Bandaraya Alor Setar, Afizzudin Mohd Saad, yang mewakili Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gapar Yahya.

EZA YUSMAWATI YAACOP