PUTRAJAYA, 26 Disember - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki merakamkan penghargaan kepada pegawai penyiasat dan pasukan pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ia susulan pengumuman keputusan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didapati bersalah atas empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaan yang telah bekerja tanpa mengenal penat lelah sejak awal siasatan 1MDB dimulakan pada Julai 2015 sehingga sampai pada penyelesaiannya, dengan pengumuman keputusan penghakiman kes ini.
“Penghargaan ini diberikan sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan ketekunan luar biasa para pegawai penyiasat, khususnya dalam mendapatkan keterangan dan bukti sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Tan Sri Azam berkata siasatan kes itu berdepan pelbagai cabaran perundangan, teknikal dan bidang kuasa namun pasukan penyiasat kekal beriltizam untuk memenuhi piawaian perundangan yang ketat bagi membolehkan kes tersebut dibawa dan dibicarakan di mahkamah.
Penghargaan turut diberikan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Begitu juga, kerjasama rakan-rakan penguat kuasa luar negara amat penting dalam proses yang kompleks dan mencabar untuk mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama,” katanya.