KUALA LUMPUR, 26 Disember - Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi perkhidmatan rel hingga 2:00 pagi bersempena sambutan ambang tahun baharu 2026 pada Rabu ini, 31 Disember 2025.
Manakala perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway serta beberapa laluan bas terpilih dan perkhidmatan Rapid KL On-Demand (ROD) akan beroperasi hingga 2:30 pagi pada 1 Januari 2026.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam satu kenyataan media memaklumkan, langkah ini bertujuan memastikan pergerakan penumpang selepas tamat acara sambutan berjalan lebih selamat, terkawal dan teratur.
Pada masa sama membantu pengguna merancang perjalanan pulang dengan lebih baik.
"Kali ini, lanjutan operasi melibatkan 20 stesen rel, tujuh stesen BRT, 21 laluan bas utama dan perantara Rapid KL serta sembilan zon ROD, dengan lebih 3,000 petugas barisan hadapan Rapid KL terdiri daripada Polis Bantuan dan kakitangan operasi akan bertugas sepanjang malam ambang tahun baharu ini," menurut kenyataan itu.
Bagi Laluan Kelana Jaya, stesen yang terlibat ialah Pasar Seni, Masjid Jamek, KLCC, Ampang Park, Kampung Baru dan USJ 7, dan Laluan Ampang/Sri Petaling pula melibatkan stesen Hang Tuah, Masjid Jamek dan Maluri, sementara perkhidmatan Monorel melibatkan stesen Bukit Bintang dan Hang Tuah.
Dalam pada itu, Rapid KL dalam kenyataan sama turut memaklumkan bahawa Laluan Kajang melibatkan stesen Pasar Seni, Tun Razak Exchange, Bukit Bintang, Maluri, Mutiara Damansara dan Cochrane, manakala Laluan Putrajaya melibatkan stesen Tun Razak Exchange, Persiaran KLCC dan Ampang Park.
Bagi BRT Laluan Sunway yang beroperasi hingga 2:30 pagi, stesen terlibat ialah Sunway-Setia Jaya, Mentari, Sunway Lagoon, SunMed, SunU-Monash, South Quay dan USJ7.
Stesen-stesen selain yang disenaraikan pula akan menamatkan operasi seperti biasa, namun pengguna masih dibenarkan keluar dari stesen berkenaan bagi meneruskan perjalanan.
"Untuk memastikan keselesaan pengguna, kekerapan tren akan dipertingkatkan di semua laluan rel bermula 7:30 malam, 31 Disember hingga 2:00 pagi pada 1 Januari.
"Waktu perkhidmatan bagi beberapa laluan bas terpilih dan ROD turut dilanjutkan hingga pukul 2:30 pagi. Antaranya melibatkan Laluan 173 (Taman Jasa Utama-Lebuh Ampang), Laluan 190 (Desa Sri Hartamas-Lin Ho Jalan Lekiu), dan Laluan 250 (Stesen LRT Wangsa Maju-Lebuh Ampang) ," tambah kenyataan itu.
Orang ramai disaran mengikuti saluran media sosial rasmi Rapid KL serta memuat turun aplikasi MyRapid PULSE bagi mengetahui maklumat terkini untuk perancangan perjalanan yang lebih mudah.