LANGKAWI, 26 Disember - Langkawi SkyCab hari ini mencatatkan satu pencapaian bersejarah apabila berjaya merekodkan kehadiran pengunjung yang ke sejuta.
Ia merupakan pencapaian terbaik sejak tahun 2019 dan menjadi petanda bahawa proses pemulihan sektor pelancongan pasca COVID-19 telah mencapai kemuncaknya.
Menurut Pemangku Ketua Pegawai Operasi Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB), Ir. Abu Hashim Abdul Rahman, pencapaian itu juga mencerminkan keyakinan berterusan pelancong tempatan dan antarabangsa terhadap pengalaman unik yang ditawarkan oleh Langkawi SkyCab.
Kejayaan tersebut bukan sahaja melambangkan pertumbuhan positif sektor pelancongan Langkawi malah menyokong agenda pembangunan ekonomi setempat melalui penciptaan peluang pekerjaan serta peningkatan aktiviti pelancongan mampan.
“Kejayaan ini turut didorong oleh sokongan berterusan daripada Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh promosi Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Penghargaan turut dirakamkan kepada semua pelancong, rakan strategik, agensi kerajaan termasuk LADA serta komuniti setempat dengan sokongan berterusan di atas kejayaan bersejarah tersebut.