JOHOR BAHRU, 4 Oktober- Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan keluarga berada dalam keadaan selamat dan telah selamat tiba di Johor kira-kira pukul 3.22 pagi tadi.
Tunku Ismail bersama keluarga dan pasukan keselamatan sebelum itu berdepan detik cemas pada petang Selasa, susulan insiden tembakan rambang yang berlaku di pusat beli belah di Bangkok, Thailand.
Ketika kejadian, baginda bersama keluarga berada di lobi hotel kemudian dikejutkan dengan bunyi tembakan.
Orang ramai mula menjerit dan berlari keluar mencari tempat perlindungan.
"Saya dan pasukan keselamatan kami berdiri di hadapan keluarga saya, membina perisai manusia untuk melindungi mereka walau apa pun berlaku. Apa yang difikiran saya adalah untuk membawa keluarga dan pasukan saya keluar dari tempat itu. Isteri saya memeluk anak-anak kami, menundukkan diri dan cuba menenangkan mereka kerana mereka ketakutan dan menangis."
Saya menjerit sekuat hati kepada pasukan keselamatan kami untuk membawa kereta ke ruang bawah tanah dan membawa kami ke lokasi yang selamat jauh dari tempat tersebut. Saya memberitahu mereka untuk membawa kami ke Kedutaan Malaysia dan pemandu memberitahu kami Kedutaan Singapura lebih dekat dan ketika itu saya menghubungi Konsul Jeneral Singapura di Johor," jelas baginda dalam hantaran di Facebooknya.
(Foto FB TMJ)
Susulan insiden itu, baginda terlepas untuk menonton aksi perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) antara kelab Johor Darul Ta'zim berdepan BG Pathum United, yang berlangsung di BG Stadium, Pathum Thani.
Tunku Ismail menyatakan rasa syukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada pasukan keselamatannya dan seluruh individu yang terlibat membantu baginda sambil menyifatkan kejadian itu sebagai pengalaman terburuk pernah dilaluinya.
Artikel berkaitan
Insiden tembakan Bangkok Mall: PM Thai ikrar langkah keselamatan tertinggi untuk pelancong
Tiga maut dalam tembakan pusat beli-belah di Bangkok
Kes tembak di Bangkok, tiada rakyat Malaysia terlibat