fb fb fb fb fb

Pembelajaran berasaskan pengalaman, 10 pelajar UIS terlibat kru produksi majlis konvokesyen

(Majlis Konvokesyen Kali ke-26, Universiti Islam Selangor/Foto FB UIS)

KUALA LUMPUR, 4 Oktober –Bagi menggalakkan minat pelajar selain memberi pendedahan awal alam pekerjaan, seramai 10 orang pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Penyiaran), Universiti Islam Selangor (UIS) dilibatkan secara langsung sebagai kru produksi Majlis Konvokesyen kali ke-26, universiti itu baru-baru ini.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Inggeris & Komunikasi, Fakulti Pengurusan & Muamalah UIS, Dr Hazlin Falina Rosli pembelajaran berasaskan pengalaman atau "experimental & hands-on learning" itu bagi memberikan pendedahan secara mendalam kepada pelajar berkenaan pengendalian produksi yang melibatkan program secara langsung.

“Pendekatan pembelajaran melalui "experimental & hands-on learning" itu diyakini mampu menggalakkan kecenderungan pelajar kepada subjek yang melibatkan elemen-elemen teknikal dan praktikal dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik kuliah”, kata Dr. Hazlin.

Jelasnya, di negara maju pendekatan itu telah dilakukan, malah dengan cara lebih kreatif dan inovatif sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkualiti.

“Pembelajaran "experimental & hands-on learning" bukan sahaja bergantung kepada kandungan atau pengisian pelajarannya akan tetapi memerlukan pensyarah dengan pengalaman industri yang baik. Ini secara tidak langsung, boleh memberikan manfaat besar kepada pelajar mereka,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Fakulti Pengurusan & Muamalah UIS berkata, tenaga pengajar perlu lebih kreatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) tanpa berpaksikan buku dan teori semata-mata.

“Dengan adanya pendedahan sebegini para pelajar dilihat lebih produktif dan agresif untuk menonjolkan bakat serta kemahiran masing-masing. Ini sekali gus memberikan peluang kepada para pelajar untuk merangsang kreativiti serta bakat yang ada sepanjang tempoh pengajian untuk diaplikasikan melalui program-program besar.

Majlis konvokesyen kali ke-26 itu meraikan seramai 2,511 graduan pelbagai peringkat pengajian.


(Naib Canselor UIS, Dato' Prof. Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah bergambar

bersama pelajar yang terlibat sebagai kru penataan Majlis Konvokesyen UIS kali ke-26)

Media Baharu