fb fb fb fb fb

OP BPT akan dilakukan bila-bila masa - KPKM

(Foto BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 4 Oktober- Perbincangan mengenai isu beras akan dibincangkan secara tertutup dengan negara-negara ASEAN yang terlibat seperti Thailand dan Vietnam.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Chan Foong Hin, ini kerana bukan semua negara ASEAN terkesan dengan isu tersebut.

"Mungkin pada sesi bilateral akan dibangkitkan seperti kita mahu mengeratkan lagi hubungan antara dua negara supaya meletakkan keutamaan eksport beras kepada negara anggota ASEAN," kata Foong Hin kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF) ke-45 di Kuala Lumpur.

AMAF ke-45 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 2 hingga 6 Oktober merupakan kali ketiga Malaysia menjadi tuan rumah selepas AMAF ke-25 dan AMAF ke-35 diadakan masing-masing pada tahun 2003 dan 2013.

Dalam pada itu, Foong Hin yang turut mengetuai Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) memberitahu operasi tersebut akan dijalankan pada bila-bila masa dan secara tertutup.

"Kelmarin kita baru adakan mesyuarat yang pertama untuk memuktamadkan (gerak kerja) task force ini untuk OP BPT.

"Operasi ini bila-bila masa sahaja akan bermula. Sekarang apa yang kita buat bukan lawatan. Apa yang akan kita lakukan adalah secara tertutup," kata Foong Hin.

Tambah Foong Hin, OP BPT akan mengambil sampel secara rawak pada pelbagai peringkat rantaian pembekalan beras bagi mengesan dakwaan manipulasi label beras tempatan ditukar kepada beras import.


(Foto BERNAMA)

Media Baharu