fb fb fb fb fb

"Bersatu padu, hormati kesucian panji-panji rejimen" - Sultan Kedah

FOTO BERNAMA

SUNGAI BESI, 4 Oktober- Semua warga batalion pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) perlu sentiasa bersatu padu dan mengambil langkah sederap (serentak) menghormati kesucian panji-panji rejimen.

Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Badlishah bertitah ia sejajar dengan perkembangan senario peperangan yang dinamik dalam pelbagai dimensi.

"Beta amat berbangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh batalion ini dalam melaksanakan amanah yang diberi oleh rakyat jelata. Sehubungan itu, beta menaruh sepenuh kepercayaan bahawa batalion ini akan terus dapat mengekalkan keyakinan tersebut.

Kotakanlah ikrar yang anda lafazkan pada hari ini agar Malaysia tetap terpelihara daripada sebarang ancaman petualang negara," titah baginda selepas berkenan menyempurnakan Istiadat Penganugerahan Panji-panji Rejimen Batalion Ke-23 RAMD di Dataran Panglima Tentera Darat Kem Perdana Sungai Besi, di sini.

Justeru, semua batalion dalam pasukan disaran memantapkan kesatuan, meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan tempur dalam mempertahankan kedaulatan agama, bangsa dan negara.


(FOTO BERNAMA)

Dalam pada itu, baginda turut bertitah setiap lapisan warga pasukan perlu mempertahankan asas profesionalisme ketenteraan melalui amalan nilai-nilai rejimental.

Tujuannya bagi menyokong agenda membina negara pada masa hadapan.

"Teguhkanlah disiplin dan sentiasalah berusaha untuk meneruskan wadah perjuangan bagi menghadapi segala kemungkinan yang bakal mendatang.

Ingatlah, anda semua merupakan sebahagian nadi, dalam memacu tonggak kecemerlangan dan tekad rakyat untuk menjadi bangsa yang berjaya dalam kelangsungan menghirup udara kemerdekaan. Janganlah sampai kita alpa dan leka, kerana kelak kita sendiri yang akan binasa," titah baginda lagi.

Media Baharu